Thursday, November 10, 2011

Kapal Terbang Terhempas Di Penang International Airport?

GEORGETOWN: Penduduk di sekitar Bayan Lepas di sini panik apabila sebuah pesawat A320-200 'terhempas' di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), tengah hari tadi.

Namun mereka kemudiannya tenang apabila dimaklumkan bahawa insiden itu hanyalah sekadar latihan kecemasan oleh Malaysia Airports Bhd dan LTAPP.
Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Arif Jaafar, berkata dalam latihan itu, sebuah pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Madras, India memohon mendarat kecemasan di LTAPP kerana enjin kanan rosak dan berlaku kebakaran.
"Senario membabitkan sebuah pesawat membawa 125 penumpang dan 10 anak kapal itu menjadi cemas apabila tiba-tiba terhempas dan terbakar di LTAPP sehingga menyebabkan 10 maut, cedera parah (30), cedera ringan (35) dan selamat (50)," katanya kepada pemberita selepas Latihan Kemalangan Kapal Terbang di LTAPP di sini hari ini.






Beliau berkata, latihan tersebut diadakan dua tahun sekali bagi menguji tahap keupayaan jentera dan pasukan penyelamat di lapangan terbang itu.

Mohd Arif berkata, ia juga bagi menilai tahap keberkesanan komunikasi antara pelbagai agensi dan unit bantuan lain.

"Latihan kecemasan hari ini mencapai sasaran iaitu kebakaran mampu dipadamkan dalam tempoh tiga minit dan beberapa perkara antaranya dari segi penyampaian komunikasi antara jabatan-jabatan juga berjalan lancar," katanya.

Katanya, latihan kecemasan bersepadu itu turut disertai oleh kira-kira 500 peserta dari pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).

"Untuk meningkatkan lagi keupayaan memadam api di lapangan terbang, kita turut menggunakan 4 unit 6x6 tender api baru jenis ultra Large Foam Tender," katanya. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...