Tuesday, June 28, 2011

Video CCTV Ragut Depan Rumah Seperti Di TV3

KUALA LUMPUR 27 Jun – Seorang guru wanita mengalami kerugian kira-kira RM8,800 selepas dirompak oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Amzil, Taman Melewar tengah hari ini.

Mangsa, Nazalina Nawawi, 36, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Sentul itu juga nyaris maut ditetak oleh kumpulan perompak itu apabila mereka turut mengacukan parang ke arahnya.

Kejadian itu berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup milik jirannya, yang menunjukkan empat lelaki yang menunggang dua buah motosikal melakukan jenayah tersebut.

Menurut Nazalina, dia bergelut dengan seorang daripada penjenayah tersebut apabila lelaki itu merentap gelang tangannya sebelum menyelak tudungnya untuk menyamun rantai leher.

“Disebabkan saya tidak pakai rantai, perompak itu kemudian bertindak merampas beg tangan saya yang mengandungi wang tunai RM6,500 hasil perolehan perniagaan kedai buku milik suami dan sebuah telefon bimbit.

“Kumpulan lelaki itu juga memberi amaran supaya tidak menjerit, namun saya jerit dengan sekuat hati menyebabkan perompak itu marah lalu mengugut untuk menikam saya sebelum mengheret saya keluar kereta,” katanya.

Sementara itu, bapa mertua mangsa, Abu Bakar Ahmad, 67, bergegas keluar rumah setelah mendengar jeritan menantunya itu dan bertindak membaling batu ke arah perompak tersebut.

“Saya yang terkejut melihat pergelutan tersebut cuba membaling batu ke arah perompak itu tetapi saya diugut bunuh sekiranya saya bertindak merapati mereka. Mereka kemudian terus melarikan diri,” jelasnya.

Antara barangan yang turut diambil ialah kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan kunci kereta.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak.

Sumber : Utusan Malaysia








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...