Friday, October 11, 2013

[Gambar & Video] Ribut Dan Banjir Di Arafah 10 Oktober 2013

Suasana ribut di perkhemanah Malaysia
Hujan dan ribut yang melanda kawasan sekitar Arafah, petang semalam hingga mengakibatkan beberapa khemah untuk jemaah haji Malaysia runtuh, tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah bagi menunaikan ibadat wukuf bermula Isnin minggu depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kebanyakan khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum diikat sepenuhnya.

“Hujan dan banjir menjelang musim haji sudah jadi macam kes tahunan kerana di Arab Saudi apabila hampir musim haji, jemaah masjid di Masjidil Haram dan Nabawi akan mengadakan solat hajat memohon hujan.
“Berdasarkan pengalaman yang lalu apabila hampir musim haji, berlakunya hujan dan insya-Allah, hujan ini tidak menjadi satu fenomena besar kerana khemah ini belum siap dipasang sepenuhnya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke pusat operasi Tabung Haji dan bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menetap di Abraj Al-Janadiriyah, di sini, semalam.

Beliau berkata, pengurusan Tabung Haji sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan persiapan untuk khemah itu akan diuruskan pihak muassasah yang mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan perkara berkenaan.
Banjir berlaku sekitar Arafah
Katanya, semua khemah yang mengalami kerosakan sudah dibaiki, semalam dan cuaca juga dilaporkan kembali panas, sekali gus akan mengeringkan khemah dan permaidani yang basah.
Kawasan Arafah mengalami hujan lebat kira-kira jam 3.30 petang (waktu tempatan) kelmarin dan kira-kira 30 peratus khemah jemaah Malaysia terjejas akibat angin kencang.


Dalam pada itu, Jamil Khir turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi menghalang jemaah haji daripada memasuki Tanah Suci ekoran cuaca buruk dan banjir yang berlaku di Arafah. Katanya, semua jemaah haji Malaysia sudah memasuki Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang menerusi Tabung Haji menghadapi sebarang masalah.

“Ada berita yang saya dengar, terdapat jemaah daripada syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara,” katanya.

Sumber : Harian Metro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...