 |
| Suasana ribut di perkhemanah Malaysia |
Hujan dan ribut yang melanda kawasan sekitar Arafah, petang semalam
hingga mengakibatkan beberapa khemah untuk jemaah haji Malaysia runtuh,
tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji dalam menguruskan jemaah bagi
menunaikan ibadat wukuf bermula Isnin minggu depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, kebanyakan khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap
dipasang dan belum diikat sepenuhnya.
“Hujan dan banjir
menjelang musim haji sudah jadi macam kes tahunan kerana di Arab Saudi
apabila hampir musim haji, jemaah masjid di Masjidil Haram dan Nabawi
akan mengadakan solat hajat memohon hujan.
“Berdasarkan pengalaman yang lalu apabila hampir musim haji,
berlakunya hujan dan insya-Allah, hujan ini tidak menjadi satu fenomena
besar kerana khemah ini belum siap dipasang sepenuhnya,” katanya ketika
mengadakan lawatan ke pusat operasi Tabung Haji dan bertemu dengan
jemaah haji Malaysia yang menetap di Abraj Al-Janadiriyah, di sini,
semalam.
Beliau berkata, pengurusan Tabung Haji sudah
bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan persiapan untuk khemah
itu akan diuruskan pihak muassasah yang mempunyai pengalaman luas dalam
mengendalikan perkara berkenaan.
 |
| Banjir berlaku sekitar Arafah |
Katanya, semua khemah yang
mengalami kerosakan sudah dibaiki, semalam dan cuaca juga dilaporkan
kembali panas, sekali gus akan mengeringkan khemah dan permaidani yang
basah.
Kawasan Arafah mengalami hujan lebat kira-kira jam 3.30 petang
(waktu tempatan) kelmarin dan kira-kira 30 peratus khemah jemaah
Malaysia terjejas akibat angin kencang.
Dalam pada itu,
Jamil Khir turut menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab
Saudi menghalang jemaah haji daripada memasuki Tanah Suci ekoran cuaca
buruk dan banjir yang berlaku di Arafah. Katanya, semua jemaah haji Malaysia sudah memasuki Makkah dan tiada
seorangpun jemaah yang datang menerusi Tabung Haji menghadapi sebarang
masalah.
“Ada berita yang saya dengar, terdapat jemaah
daripada syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak
berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan
mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara,” katanya.
Sumber : Harian Metro