Monday, August 15, 2011

Petaling Street 'Keras' : Ada 'Penunggu' Jaga


KUALA LUMPUR: Peniaga di Jalan Petaling, di sini, yang sinonim dengan jolokan ‘syurga’ barangan tiruan seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan apabila menjual barangan itu secara terbuka walaupun kegiatan mereka sudah lama diketahui umum.

Tinjauan Harian Metro di sekitar lokasi berkenaan mendapati hampir semua peniaga di situ menjual pelbagai barangan ‘berjenama’ tidak kira barangan jenama tempatan atau antarabangsa dengan harga amat rendah dengan mendakwa kualitinya serupa barangan tulen.


Ketika ditanya berhubung kegiatan itu, peniaga terbabit berkata, orang ramai mencari pelbagai barangan berjenama terutama pakaian dan kasut kerana tidak mampu membeli di tempat lain kerana harganya mahal di samping kualiti barangan itu hampir sama.

“Serupa saja sama ada barang ‘ori’ atau yang ini (tiruan), malah beli barangan tiruan lagi untung, harga murah, boleh jimat duit. Kalau pakai pun bukan orang nak tengok tulen ke tak yang penting ada jenama,” katanya.

Ada juga peniaga menyalakan pemetik api dan cuba membakar kulit barangan terbabit untuk meyakinkan orang ramai barangan tiruan itu setanding barangan berkualiti.

Lebih mengejutkan, peniaga itu mendakwa pihak berkuasa tidak berani mengadakan operasi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan berikutan tempat itu ada ‘orang jaga’ dan mereka perlu berurusan dengan individu terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan, Mohd Mokhtar Yeop, berkata tiada istilah kebal dalam melaksanakan undang-undang dan peniaga terbabit tidak terlepas tindakan pihak berkuasa.
Katanya, dakwaan kononnya peniaga terbabit kebal daripada tindakan tidak benar kerana pihaknya kerap mengadakan operasi barang tiruan di sekitar kawasan terbabit dan mengambil tindakan kepada peniaga yang gagal mematuhi undang-undang.

“Mereka tidak kebal cuma mereka degil walaupun ratusan kali operasi diadakan dan dikenakan denda. Kami percaya ada dalang di sebalik kegiatan ini yang membekalkan barangan itu supaya mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Sumber : HarianMetro






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...