Monday, August 1, 2011

Harimau Muda Terus Mengaum Kali Kedua Di Slovakia 2011

BARISAN skuad Olimpk negara ketika turun menentang Topvar Topolcany di Slovakia kelmarin.

SKUAD Olimpik negara mencatat kemenangan kedua pada siri aksi persahabatan di Slovakia setelah menewaskan kelab Liga 2 Slovakia, Topvar Topolcany 2-1 di tempat lawan malam kelmarin.

Setelah menang 1-0 ke atas kelab Liga 1 Slovakia, Bodva Moldava hasil jaringan Wan Zack Haikal Wan Nor pada aksi sulung Selasa lalu, jurulatih Ong Kim Swee hanya menurunkan barisan simpanan pada aksi kedua itu.

“Saya merehatkan lima pemain yang beraksi pada Selasa lalu iaitu Izham Tarmizi Roslan, Irfan Fazail, Syazwan Tajuddin, Syahrul Azwari Ibrahim dan Wan Zack Haikal.

“Dalam kesebelasan utama kali ini, saya meletakkan K. Sasikumar, Affize Faisal Mamat, Amer Saidin, Azrul Azmi, Nazirul Naim Che Hashim, Faizal Abu Bakar, Nazmi Faiz Mansor, Azrif Nasrulhaq Badrul, Izuan Solahuddin, Ferris Danial Mat Nasir dan Ahmad Hazwan Bakri.

“Enam pertukaran dibuat sepanjang babak kedua iaitu memasukkan Gary Steven Robbat, Shukor Jusoh, Fandi Othman, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, A. Thamil Arasu dan Zubir Azmi,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.

Pada perlawanan tersebut, Topvar Topolcany mendahului pada minit ke-21 menerusi Durcek Michal sebelum skuad Olimpik negara membalas hasil jaringan Ferris Danial pada minit ke-64 dan sepakan penalti Fandi (87).

Jelas Kim Swee, enam pemain baru iaitu Azrul, Syazwan, Nazmi, Azrif, Hazwan dan Izuan masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan skuad yang dianggotai majoriti pemain Harimau Muda A itu.

“Antara mereka ini, Hazwan telah menunjukkan kematangan serta mencuba beberapa kali ke arah penjaga gol lawan tetapi yang lain memerlukan sedikit lagi masa untuk menyesuaikan corak permainan.

Perlawanan ketiga bakal berlangsung malam esok dengan satu lagi kelab Liga 1 Slovakia, Tatran Liptovsky Mikulas.

Sumber : KOSMO






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...