Friday, April 3, 2009

Terima Kasih Pak Lah Daripada Dr Mohd Asri

Saya sebagai rakyat Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada DS Abdullah Ahmad Badawi yang telah berjasa dalam tempoh beliau menjadi PM Malaysia. Saya mempunyai hubungan baik dengan beliau. Demikian saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Tun Mahathir. TN Datuk Nik Aziz dan DS Anwar juga agak dekat. Di sini sebagai seorang muslim yang diperintahkan Allah dan RasulNya agar adil dalam setiap perkara, saya ingin merumuskan beberapa hakikat berikut;

1. Pak Lah semasa menjadi PM banyak dinilai daripada kacamata musuh politiknya yang senantiasa melihat keburukan dan permusuhan. Itulah juga yang pernah berlaku pada Tun Mahathir. Mungkin apabila Pak Lah turun kita akan mendengar yang menghinanya habis-habisan akan menyebut kebaikannya. Jika kita masih ingat dahulu ketika awal beliau memerintah, beliau dituduh sebagai boneka Tun M. Apabila beliau bercanggah dengan Tun M beliau dikutuk kerana dikatakan tidak mahu mendengar nasihat orang yang lebih berpengalaman. Itulah politik Malaysia yang menjadikan permusuhan tonggak kepada kritikan.

2. Pak Lah bukanlah seorang pemerintah yang cukup teguh di sudut nilai al-quwwah yang diperlukan oleh seorang pemimpin di negara seperti Malaysia. Ketangkasan yang pernah ditunjukkan oleh Tun M dahulu menjadikan Pak Lah kelihatan jauh ditinggalkan. Namun, kita hendaklah akur Pak Lah adalah seorang pemerintah yang lunak kepada rakyatnya. Ada nilaian agama dalam jiwanya. Memberi banyak ruang dan nafas kebebasan kepada rakyat, berbudi bahasa dan tidak sukakan permusuhan. Hakikat ini janganlah dilupai. Pak Lah sebenarnya BAPA PERUBAHAN MALAYSIA kerana banyak perubahan berlaku pada zamannya, samada disengajakan atau tidak.

3. Pak Lah gagal untuk mengubat penyakit partinya yang parah terutama soal politik wang dan rasuah. Beliau bukan tidak mencuba, tetapi tidak cukup berwibawa dan masalah itu begitu tegar. Kita harapkan usaha-usahanya akan ditingkatkan oleh orang selepasnya jika ada kejujuran.

4. Allah Maha Mengetahui kebaikan dan keburukan seseorang. Di akhirat ditimbang amalan baik dan jahat setiap insan. Sesiapa yang kebaikannya mengatasi-kejahatannya maka dia selamat. Begitulah sebaliknya. Belum tentu yang memaki hamun itu, lebih baik daripada yang dimaki. Kita tahu tiada pemimpin yang maksum, namun kita sebagai rakyat mengharapkan agar seseorang pemimpin itu hendaklah unsur kebaikan mendominasi kehidupannya, bukan kejahatan yang menguasainya. Allah lebih mengetahui tentang hamba-hambaNYa.

Akhirnya, terima kasih Paklah, maaf jika ada bicara dan kritikan yang melampau selama ini..

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Lampeter, UK

Sumber : Dr. Maza Minda Tajdid

1 comment:

Hanggokan said...

ya, trima kasih paklah. paklah telah mewakili bangsa melayu selama 5 tahun. contoh seorang melayu. Ini lah hakikat sebenar rakyat bangsa melayu. sila buka mata. buka hati. jgn buka baju.
trima kasih paklah.

kahkahkah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...