Wednesday, August 13, 2008

Pesanan Ikhlas Dr. Mohd Asri-Mufti Perlis Kepada Calon-Calon Yang Bertanding di Permatang Pauh

Aku telah membaca satu artikel penulisan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di MindaMufti berkenaan nasihat dan harapan beliau terhadap calon-calon,pengundi-pengundi dan sesiapa sahaja yang akan terlibat secara lansung dan tidak lansung untuk pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Permatang Pauh nanti. Berikut adalah artikel penulisan Dr. Mohd Asri :


Calon-calon Yang Dikasihi,

Proses demokrasi jika tidak dipandu dengan kesedaran Islam akan menjerumuskan kita ke kancah yang serba jijik dan kotor. Lihatlah apa yang terjadi dalam masyarakat kita apabila berpegang dengan demokrasi yang tidak ditapis dengan tapisan wahyu ilahi; lahirnya politik wang, permusuhan sesama muslim tanpa alasan yang benar, fitnah mengfitnah, caci-mencaci dan segala macam racun permusuhan dan kebencian yang hidup atas nama baja demokrasi. Dalam mencapai hasrat kuasa dan memenangi persaingan untuk mendapatkan kuasa ramai pemain di gelanggang demokrasi itu melupai prinsip-prinsip Islam yang harmoni dan lurus.

Maka, saya yang teramat daif ini mengambil kesempatan mengingatkan para calon dan mereka yang terlibat dalam kempen Pilihanraya Permatang Pauh –yang kebetulan juga merupakan kawasan undi saya- untuk berpegang dengan prinsip-prinsip Islam ketika berkempen. Bebaskan kempen anda dari rasuah undi, caci-maki, tuduh-menuduh tanpa bukti, penggunaan bahasa atau isyarat yang kasar dan kesat, membuka aib orang tanpa sebarang keperluan yang diizinkan syarak dan seumpamanya. Kesemua itu adalah dosa walaupun atas nama deomokrasi dan kegilaan undi!Keperluan politik umat bukan itu semua. Sebaliknya kita ingin mendengar siapakah yang memiliki pemikiran dan idea yang mampu membangunkan masyarakat dan negara ke arah yang lebih harmoni, terurus dan sopan berdasarkan teras-teras yang diredhahi Allah.

Didiklah masyarakat kita untuk hidup dalam iklim politik yang harmoni dan penuh kesantunan. Janganlah nanti generasi baru yang sedang membesar akhirnya tidak mengenali politik melainkan dengan wajah serba kehodohan dan kebiadapan cara dan bahasa. Hak-hak setiap muslim lebih mulia di sisi Allah daripada kerusi politik yang menjadi kegilaan sebahagian manusia. Kita sudah penat mendengar maki hamun, ketidakjujuran, pembohongan dan penipuan atas nama politik. Berilah ruang untuk rakyat hidup dalam udara politik yang bersih dan segar. Jangan jadikan mereka terbiasa dengan pencemaran sehingga akhirnya mereka sebati dengan kejijikan siasah yang tiada penghujungnya. Selamat berkempen, dan berkempenlah dengan cara yang Allah redha!

Seorang Pengundi Anda: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Diharapkan nasihat dan teguran Dr. Mohd Asri ini menjadi peringatan untuk kita semua supaya tidak terlalu mengikut nafsu atau taksub dengan apa yang hendak dikejar nanti.

Sumber : MindaMufti

1 comment:

Farid Abu Talib said...

satu saranan intelek dan kita harus sambut dengan minda terbuka dan berlapang dada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...