Monday, September 26, 2011

Menara TNB Patah Di Taman Negara

Sebahagian daripada menara talian elektrik TNB yang rosak teruk akibat di hempap pokok tumbang di kawasan hutan tebal Taman Negara, Kuala Tahan.

JERANTUT 25 Sept. – Penduduk di sekitar Taman Negara dan Kuala Tahan di sini yang terputus bekalan elektrik sejak Jumaat lalu dinasihatkan tidak menghampiri kawasan menara yang patah kerana berisiko mendapat renjatan elektrik.

Menurut Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang, Sharuddin Mohd. Simin, kawasan sekitar voltan berkenaan dipercayai bervoltan tinggi dan dikhuatiri boleh menyebabkan kematian.

“Menara berkenaan yang menyalurkan kira-kira 33,000 voltan tenaga elektrik kepada lebih 1,000 buah rumah di situ patah akibat dihempap pokok berhampiran hutan Taman Negara.

“Akibat kejadian itu, sistem kecemasan TNB terputus secara automatik ke semua kawasan yang berhampiran iaitu di pekan Kuala Tahan, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan segera yang dilakukan TNB ialah menempatkan beberapa unit janakuasa di beberapa kawasan penempatan penduduk kerana bimbang kerja baik pulih itu akan memakan masa agak lama.

“Kerja mencari lokasi serta membaiki kerosakan amat sukar kerana talian terlalu panjang iaitu sejauh 96 kilometer yang merentasi kawasan hutan tebal berbukit serta tiada akses jalan masuk,” tambahnya.

Bagaimanapun katanya, TNB akan berusaha membaik pulih kerosakan itu secepat mungkin secara berperingkat dan dijangkakan kerosakan tersebut dapat dipulihkan pada hujung minggu ini.

“TNB juga sedang bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi meminimumkan risiko pokok tumbang atau sebarang ancaman lain terhadap talian TNB di sepanjang hutan antara Jerantut-Kuala Tahan-Mat Daling,” jelasnya.

Sumber : UtusanMalaysia






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...