Thursday, September 15, 2011

[Video] Contagion : Filem Paling Seram Tahun Ini

APABILA menyebut tentang filem bencana, apakah yang terlintas di fikiran kita? Pencerobohan makhluk asing ke atas bumi? Letusan gunung berapi atau banjir besar? Atau kuasa ajaib dari angkasa, atau pun menanti detik kiamat dunia?

Kita sudah melihat populasi manusia 'dihapuskan' dalam pelbagai cara, kebanyakannya dipersembahkan dengan efek berskala besar.

Namun, Contagion adalah sebuah kisah yang lebih realistik bagaimana dunia huru-hara dan manusiawi berdepan kepupusan hanya kerana penularan wabak baru.

Saya mengakui agak skeptikal semasa menonton treler filem ini, bimbang ia sekadar mengitar semula idea filem Outbreak (1995).

Mujurlah Contagion tidak mengikut rentak biasa Hollywood yang selalu melebih-lebihkan situasi contohnya babak teman lelaki yang mengorbankan nyawa demi kekasih atau anak kecil yang mahu menyelamatkan anjing.

Filem arahan Steven Soderbergh ini memberi fokus kepada aspek yang lebih penting, yakni senario yang bungkam dan bagaimana setiap karakter menangani ketakutan dengan cara yang lebih logik dan relevan. Hampir tiada imej janaan komputer (CGI) digunakan dalam filem ini.

Soderbergh pernah menang Oscar untuk Pengarah Terbaik menerusi Traffic (2000). Seperti filem itu, Contagion juga mempunyai struktur filem yang serupa iaitu plot yang bertingkat-tingkat, di mana setiap satu watak saling bersangkut paut meskipun sesetengahnya tidak mengenali secara langsung.

Filem dibuka ketika virus merebak secara senyap pada 'Hari Kedua'. Beth Emhoff (lakonan Gwyneth Paltrow) berada di lapangan terbang Chicago untuk pulang ke rumahnya di Minneapolis daripada lawatan kerja di Hong Kong. Dia kemudian memindahkan wabak itu kepada suaminya, Mitch (Matt Damon) dan anak mereka.

Turut ditunjukkan ialah senario wabak mula menular di Kowloon, Guandong dan London - lengkap dengan jumlah populasi penduduk - di mana mangsa yang terjangkit mula jatuh sakit. Jangkitan berlaku hanya melalui objek yang disentuh.

Sementara itu, di pusat kawalan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Atlanta, Dr. Ellis Cheever (Laurence Fishburne) menugaskan seorang pegawai khas epidemik, Dr. Erin Mears (Kate Winslet) untuk mencari punca dan penyelesaian terhadap masalah tersebut.






Manakala Dr. Leonara Orantes (Marion Cotillard) daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terbang ke China dan diculik orang tempatan. Pada masa sama, muncul pula penulis blog Alan Krumwiede (Jude Law) yang mengambil kesempatan dengan menggembar-gemburkan situasi sehingga panik tercetus.

Berbulan-bulan CDC berusaha tanpa henti untuk menghasilkan vaksin ketika pasar raya dan tempat-tempat awam mula ditutup, kuarantin berlaku di mana-mana dan mangsa terpaksa dikebumikan beramai-ramai.

Tiada siapa yang tahu siapa akan menjadi mangsa seterusnya dan manusia mula hilang pertimbangan untuk meneruskan kehidupan.

Soderbergh sangat beruntung apabila barisan calon dan pemenang Oscar bersetuju untuk terlibat dalam Contagion, tetapi 'bintang' sebenar filem ini ialah virus halimunan tersebut.

Tidak keterlaluan jika saya menyifatkan virus itu sebagai pembunuh paling kejam dan menakutkan dalam sejarah sinema moden.

Tidak dinafikan lakonan yang ditampilkan cemerlang, kalau ada kekurangan pun barangkali kerana durasi kemunculan yang terhad. Namun, faktor terbesar yang memberi impak ialah imaginasi penonton yang diisi dengan tekanan dan ketakutan.

Kombinasi kerja kamera, pembentangan adegan demi adegan serta dialog yang ringkas dan padat, mewujudkan peristiwa-peristiwa yang dipercayai berlaku.

Tiada letupan yang diiringi jeritan atau babak raungan dan tangisan. Mungkin akan ada penonton yang berpendapat Contagion sebuah filem yang dingin emosi.

Bagaimanapun, itu gaya Soderbergh dan penulis lakon layar, Scott Z. Burns yang tidak mahu filem ini tampil terlalu dramatik, biarpun isunya tentang kematian. Tindakan terhadap uji kaji sains, perundangan, birokratik dan propaganda kerajaan dalam membanteras virus itu juga dipaparkan dengan sangat menarik.

Hanya pada penghujung filem, penonton akan didedahkan dengan apa yang berlaku pada 'Hari Pertama', punca dan asal-usul wabak tercetus.

Contagion ialah sebuah filem yang tidak patut dilepaskan. Anda akan berfikir dua kali untuk bersalaman selepas menontonnya.


TRAILER FILEM CONTAGION






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...