Friday, September 30, 2011

Semakin Ramai Messi Datang Malaysia?

NEW YORK: Malaysia terus menikmati peningkatan bilangan pelancong dari Argentina walaupun dalam keadaan ekonomi global yang merosot.

Naib Presiden Tourism Malaysia di sini, Salahuddin Mohd Ariffin, berkata hasil daripada strategi yang berkesan, bilangan rakyat Argentina yang melawat Malaysia tahun lepas meningkat kepada 6,000 orang, naik sembilan peratus dari 2009.
Pejabat Tourism Malaysia di sini yang turut meliputi rantau Caribbean dan Amerika Selatan (Argentina, Chile, Paraguay dan Uruguay), baru-baru ini menganjurkan satu origram promosi selama enam hari di ibu negara Argentina, Buenos Aires, dengan kerjasama Kedutaan Malaysia, Malaysia Airlines dan Sheraton Buenos Aires Hotel & Convention Centre.
Selain merasai masakan yang disediakan oleh tukang masak dari Malaysia, pengunjung juga menikmati persembahan oleh kumpulan kebudayaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Salahuddin berkata, pasaran Amerika Selatan menyediakan potensi perniagaan yang besar memandangkan pelancong dari rantau itu kini gemar berkunjung ke tempat-tempat baru selain dari destinasi biasa di Amerika Utara dan Eropah.

Ketika promosi itu, satu perbincangan diadakan antara delegasi Tourism Malaysia dan Inprotur, yang merupakan lembaga pelancongan Argentina.

"Kami bersetuju bahawa kami bukan saja akan membawa pelancong Argentina ke Malaysia tetapi juga membantu Argentina menarik pelancong Malaysia melawat negara itu," kata Salahuddin.
Beliau berkata, Tourism Malaysia akan menjemput 30 wakil media dan ejen pelancongan dari Argentina, Brazil, Paraguay dan Uruguay melawat Malaysia pada November ini sempena Festival Orang Asli Antarabangsa di Kuala Lumpur.

Mengulas hubungan udara antara Malaysia dan Argentina, Salahuddin berkata, Malaysia Airlines kini mengendalikan dua penerbangan seminggu ke Buenos Aires.

Duta Malaysia ke Argentina, Datuk Zulkifli Yaacob, pula berkata Malaysia dan Argentina telah menjalin hubungan diplomatik sejak 44 tahun lepas dan kini mencatat perdagangan dua hala melebihi AS$1 bilion.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Argentina.
Sambil menyeru lebih ramai rakyat Argentina melawat Malaysia, Zulkifli berkata, Malaysia mempunyai pelbagai tarikan pelancong khususnya kecantikan alam semula jadi.

"Terdapat pelbagai budaya dan agama di Malaysia, hutan belantara, pantai yang indah dan kemudahan penginapan yang mewah," katanya. - BERNAMA





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...