Wednesday, September 7, 2011

Puasa 6 Syawal : Afdal Dibuat Berterusan

RAMADAN melabuhkan tirainya dengan penuh kesyahduan dan pengharapan supaya dipertemukan lagi dengan Ramadan tahun depan. Keriangan terpancar di wajah mereka yang menyambut hari raya sebagai tanda kemenangan menghadapi ujian Ramadan lalu.

Orang yang beriman hendaklah yakin dengan apa yang diperoleh daripada Ramadan baru berlalu iaitu mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya seterusnya bersangka baik dengan Allah SWT terhadap amalan dilakukan.

Ibnu Masud menyebut, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Tuhan yang tiada sekutu bagi-Nya tiada sesuatu pemberian yang terbaik dari Allah SWT selain dari bersangka baik dengan-Nya kerana ia akan memperoleh seperti apa yang disangkakan.”

Hadis sahih menyebut yang bermaksud: “Jika seseorang memohon, hendaklah memohon yang terbaik dan terbanyak.” (Al-Hadis)

Allah SWT tidak pernah berasa segan untuk memakbulkan doa yang dimohon dan gembira apabila diminta dalam kuantiti yang banyak.

Walaupun Ramadan sudah berlalu, kita masih lagi mempunyai talian hayat untuk menambahkan amalan Syawal, iaitu berpuasa enam hari selagi Syawal masih ada. Ia adalah puasa sunat selama enam hari bermula dua Syawal hinggalah penghujungnya.

Puasa Syawal adalah lebih afdal (lebih baik) dilakukan secara berturut-turut daripada dilakukan secara berselang seli. Berpuasa secara berturut-turut adalah digalakkan kerana ia lebih hampir kepada fokus yang tinggi kepada pengabdian berterusan.

Fadilat atau kelebihan puasa sunat Syawal disebutkan dalam hadis Abi Ayyub dari Abu Hurairah bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli berpuasa enam hari Syawal seolah-olah ia mendapat ganjaran berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Ini disokong oleh As-Sya’bi dalam kitabnya Al-Manawi yang menunjukkan bahawa ganjaran puasa sunat Syawal sangat besar di sisi Allah SWT.

Ada riwayat menyebut, Allah SWT menciptakan langit dan bumi selama enam hari, iaitu pada Syawal. Sesiapa berpuasa pada bulan ini akan dianugerahkan kebajikan pahala seperti bilangan makhluk di dalamnya, diampunkan dosanya serta diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. (Durratul Waizin 71)

Sufyan Atthauri pernah berdoa supaya diberi kekuatan untuk melakukan puasa Ramadan dan enam hari Syawal kerana kelebihan yang ada pada kedua-duanya.

Daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian disusuli dengan puasa Syawal seolah-olah ia baru saja dilahirkan dalam keadaan suci bersih dari dosa kesalahan.” (Targhib Wattarhib Fi Fadail A’mal)

Nabi SAW juga pernah mengumpamakan orang yang berpuasa selepas Ramadan seperti orang yang lari dari satu peperangan dan kembali untuk bertarung semula. Menunjukkan bahawa ia sanggup kembali ke medan perjuangan bagi meraih pahala berlipat ganda.

Antara tujuan atau hikmah puasa sunat Syawal adalah untuk mengekang nafsu balas dendam terhadap Ramadan lalu yang terkadang umat Islam terleka kerana keghairahan menyambut hari raya.
Fadilat lain, ditambahkan rahmat dan kempunan ketika hampirnya masa roh seseorang akan berpisah dengan jasad (sakratul maut), dipermudahkan ketika berurusan dengan dua malaikat di alam barzakh dan ganjaran pahala setahun serta tiket pelancongan ke syurga di bawah pembiayaan Allah SWT. (Durratu Nasihin-Ibnu Ahmad As Syakir)s

Persoalan berkaitan menyatukan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan ulama muasarah (kontemporari) di mana keputusan mendapati mengasingkan antara puasa sunat Syawal dan puasa qada adalah lebih baik serta digalakkan kerana puasa qada mempunyai ruang masa yang banyak untuk dilaksanakan berbanding puasa Syawal.

Apa yang membimbangkan adalah sifat berlengah sesetengah kita untuk berpuasa Syawal sehingga luput waktu dan terlepas peluang keemasan ini. Semoga kemenangan Ramadan akan disambut lagi selepas kemenangan Syawal yang masih banyak berbaki, jangan tunggu lagi.

Oleh : Ustaz Zamanuddin Jusoh




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...