Thursday, October 13, 2011

Profesor Dari China Tokoh Bahasa Melayu


MELAKA 13 Okt. - Bahasa Melayu mempunyai keistimewaan dan kekuatan tersendiri sebagai bahasa kebangsaan dan antarabangsa jika ianya dimartabatkan sebaik mungkin, kata Profesor Wu Zongyu yang dinobat sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.

Beliau yang merupakan Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) berkata, rakyat negara ini perlu mengagungkan budaya dan memartabatkan bahasa Melayu seiring dengan perkembangan ekonomi kerana pengaruh bahasa itu semakin terserlah dari sehari ke sehari.

"Jika bahasa Melayu boleh merapatkan dua negara seperti Indonesia dan Malaysia, ia juga berupaya menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini sekali gus dapat menjana perkembangan dan kestabilan ekonomi dan politik yang lebih baik. "Kita dapat lihat juga bahawa kepentingan bahasa Melayu ini semakin hari semakin terserlah di mana rantau yang menggunakan bahasa ini semakin maju dan pesat membangun dari segala segi,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Beliau menerima RM50,000, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Watikah Penghargaan Negara. - Bernama





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...