SOALAN
BARU-BARU ini saya mendengar tiga kawan berbincang mengenai zakat pendapatan. Seorang berkata ia wajib (berdasarkan pendapatan, kami boleh dikatakan termasuk dalam golongan berpendapatan sederhana).
Seorang lagi berkata ia tidak wajib kerana dia sering mengalami masalah kekurangan wang, terutama apabila hujung bulan, walaupun hanya ada seorang anak remaja.
Pendapat ini disokong rakan ketiga yang bermati-matian mengatakan zakat pendapatan tidak wajib, apatah lagi selepas gaji ditolak dengan cukai.
Saya ingin tahu, apakah ciri yang meletakkan seseorang itu dalam golongan wajib membayar zakat pendapatan? Adakah had pendapatan minimum dalam kiraan ini?
Apakah tanggungan yang boleh ditolak untuk pembayaran zakat? Boleh Datuk beri penjelasan terperinci mengenai masalah ini?
MUSYKIL
Pulau PinangJAWAPAN
Membayar zakat adalah satu daripada rukun Islam. Pada dasarnya zakat wajib pada hasil usaha dan harta yang dicari, sepertimana firman Allah SWT: “Wahai orang-orang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Surah al-Baqarah; ayat 267)
Muzakarah Fatwa Ulama Ke-56 pada 7 Mei 2003 memfatwakan zakat pendapatan itu wajib. Bagaimanapun, fatwa ini tidak berkuatkuasa di semua negeri, hanya sebahagian mewajibkan.
Asas pengiraan zakat gaji dan pendapatan adalah berdasarkan pendapatan kasar setahun dan kadar dikenakan ialah 2.5 peratus daripada jumlah pendapatan itu.
Hasil usaha itu termasuk perkara seperti pendapatan dan pengajian yang merangkumi upah, gaji, bonus, elaun, komisen, pemberian, ganjaran profesional, hasil sewaan dan perkhidmatan.
Apabila berbincang mengenai zakat, pendapat para fuqaha’ ada menyebut, semua hal berkenaan pendapatan dan penggajian disebut sebagai ‘mal mustafad’ iaitu satu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang memang dikenakan zakat .
Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang disandarkan kepada emas. Ia dikeluarkan setelah ditolak perbelanjaan asas dan tanggungan didapati ia cukup nisab.
Untuk memudahkan lagi pengiraan, kunjungi pusat zakat atau laman web yang ada dan khidmat pengiraan disediakan.
Datuk Dr. Mashitah Ibrahim