Saturday, June 18, 2011

Isu Lynas : Kesan Projek Lynas Diumum Kepada Semua-Syed Muhammad


Disini aku ambil petikan surat dari Berita Harian mengenai keputusan laporan siasatan yang dijalankan baru-baru ini:


KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menghargai surat Yope Key-Dare dari Kuantan pada 15 Jun lalu mengenai isu Lynas. Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap isu Lynas, MITI mengambil kesempatan ini untuk menerangkan kembali proses yang diambil kerajaan lanjutan kebimbangan segelintir pihak mengenai kesan projek Lynas terhadap keselamatan dan kesihatan.

Syarikat berkenaan diluluskan Lesen Pengilang bagi menghasilkan ‘nadir bumi oksida dan karbonat’ pada 22 Januari 2008. Keputusan itu dibuat berdasarkan laporan pakar teknikal daripada Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap cadangan projek itu mengikut Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Awal tahun ini, ada pengkritik memainkan isu Lynas ini dari aspek keselamatan dan kesihatan. Sebagai kerajaan berpaksikan ‘Rakyat Didahulukan’, pada 22 April lalu kerajaan melantik satu panel bebas antarabangsa bagi mengkaji semula cadangan projek berkenaan.

Ketua Pengarah LPTA diamanahkan berbincang dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Vienna mengenai penubuhan panel itu. Pada 13 Mei lalu, kerajaan mengumumkan persetujuan IAEA melantik sembilan ahli panel pakar mengkaji semula projek Lynas.

Empat pakar daripada IAEA, manakala lima lagi dari negara anggota IAEA. Bagi mengekalkan ketelusan, tiada ahli dilantik dari Malaysia, Australia dan China.

Panel pakar melakukan lawatan kerja ke Malaysia dari 29 Mei hingga 4 Jun lalu sebahagian agenda program mereka. Ini termasuk konsultasi bersama agensi terbabit, pihak syarikat Lynas, persatuan, badan bukan kerajaan, parti politik, juga individu yang mahu memberikan pandangan kepada panel ini.

Keputusan kajian semula panel bebas antarabangsa diserahkan kepada kerajaan 30 Jun ini dan akan diumumkan kepada orang ramai. Keputusan bersifat objektif, berasaskan fakta dan tiada elemen politik.

SYED MUHAMMAD SYED NADZIR,
Ketua Komunikasi Korporat,
Kementerian Perdagangan
Antarabangsa dan Industri.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...